KUALA LUMPUR, 15 Mac – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengumumkan untuk kembali menyertai gelanggan politik.
Beliau turut mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan akan datang.
“Pada pandangan saya, dengan perkembangan-perkembangan terbaru, politik progresif pelbagai bangsa sedang berada di dalam bahaya jika KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar,
“Atas kesedaran itu, saya telah membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan akan datang,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Katanya, keputusan Pilihanraya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini mengesahkan bahawa PKR dan PH telah menjadi parti ketiga selepas Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Keputusan itu perlu diterima dengan terbuka dan tawaduk oleh semua rakyat Malaysia yang mendukung idealisme politik progresif yang dibawa PKR dan PH,
“Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri pilihanraya negeri. Setiap kali PKR dan PH mengalami kekalahan, selain dari menyalahkan sesama sendiri, sehingga kini belum nampak strategi yang berlainan untuk menambat kembali hati rakyat,” ujarnya.
Menurutnya, satu-satunya strategi yang diulang-ulang ialah pendekatan ‘khemah besar’ untuk menyatukan semua parti yang bersaing dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Terbaru, saya dimaklumkan Majlis Presiden PH bersetuju mengambil pendekatan untuk berbincang dengan PN mengenai kemungkinan bekerjasama dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15),
“Walaupun tidak ada tanda-tanda pun pendekatan ‘khemah besar’ ini mendatangkan sebarang hasil setakat ini, ia kekal menjadi satu-satunya jalan yang difikirkan pimpinan PH seolah-olah keseluruhan pimpinan sudah mati akal untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat,” jelasnya. – airtimes.my