KUALA LUMPUR, 15 Mac – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menegaskan masyarakat perlu berwaspada dengan penipuan pelaburan di saluran Telegram.
Menurutnya, pihak SC telah menerima 47 aduan dan pertanyaan berhubung skim pelaburan yang dipromosikan melalui Telegram.
“Skim penipuan ini menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud serta menjanjikan pulangan yang sangat menarik dan bebas risiko dalam jangka masa yang singkat,
“ Skim-skim ini kebiasaannya menawarkan pulangan yang tidak realistik sehingga 1,000% dalam masa 24 jam atau beberapa jam,” ujarnya.
Jelas SC, dalang di sebalik penipuan pelaburan ini telah menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti mereka.
“Mereka juga boleh menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, laman web dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram tersebut,” ujarnya.
SC turut menyatakan pihak yang terbabit dalam penipuan pelaburan ini turut kumpulan awam di Telegram bagi mempromosikan pakej pelaburan.
“Kebiasannya mereka akan sertakan testimoni palsu dan juga diiklankan sebagai patuh syariah,
“Pelabur yang berminat akan diminta untuk menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dalam pelbagai pakej yang ditawarkan,” katanya.
Tambahnya, pelabur sering diarahkan untuk mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu yang mendakwa mewakili entiti yang sah, dan/atau ke dalam akaun korporat yang tidak berkaitan.
“Bagi mendapatkan kepercayaan dan menarik mangsa untuk tidak curiga, pelaku akan mendakwa bahawa entiti mereka dan/atau skim pelaburan tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan,” kata kenyataan itu.
Pada masa yang sama, SC menegaskan para pelabur untuk berhati-hati dalam menilai peluang pelaburan.
“Ini terutamanya melibatkan pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi yang tidak realistik dengan risiko sedikit atau tiada,
“Pelabur juga tidak seharusnya memindahkan wang ke dalam akaun bank peribadi seseorang jika diarahkan,” ujarnya.
Orang ramai digesa untuk merujuk kepada SC untuk menyemak Senarai Peringatan Pelabur SC sebelum melabur. – airtimes.my