JOHOR BAHRU, 15 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ADUN Machap itu telah menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
“Datuk Onn Hafiz yang sebelum ini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor amat aktif dalam pergerakan generasi muda,
“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar dengan mencatatkan kejayaan dua pertiga apabila memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi,” katanya.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad. – airtimes.my