Home Pertahanan dan Keselamatan 9 pegawai, anggota penguatkuasa dalang sindiket pengedaran dadah

9 pegawai, anggota penguatkuasa dalang sindiket pengedaran dadah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Polis Diraja Malaysia menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi 9 pegawai dan anggota penguatkuasa dalam 3 sebuan berasingan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor, pada 6 hingga 8 Mac lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, turut ditahan seorang nelayan berusia 29 tahun dalam serbuan tersebut.

Beliau berkata, 9 penjawat awam tersebut berusia antara 33 hingga 49 tahun merupakan kakitangan di sebuah agensi penguatkuasa di Putrajaya.

“Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak pertengahan bulan Februari tahun ini dengan menjual semula 50 Kilogram (kg) dadah disyaki Syabu yang dirampas dalam satu operasi di perairan Selat Melaka di utara tanah air.

“Dadah yang dirampas tersebut cuba diseludup oleh sindiket lain yang bergerak aktif di Banting, Selangor untuk pasaran di Dumai, Indonesia,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambahnya lagi, sindiket ini juga dipercayai bekerjasama dengan sindiket dadah lain serta menjadi pemain penting dalam rangkaian dadah di negara ini.

“Mereka juga menyasarkan pasaran dadah di luar negara kerana harganya yang mahal sebagai contoh, satu kilogram (kg) syabu di pasaran Malaysia bernilai kira-kira RM36,000 manakala di Indonesia RM100,000 dan di Australia pula mencecah RM300,000,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, JSJN telah berjaya merampas dadah jenis syabu kira-kira 5.3 kg yang dianggarkan bernilai RM193,590 dan boleh digunakan seramai 26.8 juta penagih dadah.

“JSJN turut menyita pelbagai aset sindiket terbabit seperti 4 buah kereta dan satu akaun bank bernilai 195,235.78 yang menjadikan keseluruhan rampasan RM388,825.78,

“Saringan awal mendapati, 4 suspek penjawat awam terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua suspek yang ditahan juga tidak mempunyai rekod lampau,” katanya lagi – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply