SENAI, 3 Mac – Seramai 56 calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah melafazkan ikrar dan sumpah antirasuah sebagai bukti parti tersebut komited serta serius untuk membentuk kerajaan yang lebih berintegriti.
Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Johor digesa untuk tidak mengulangi apa yang berlaku di peringkat Persekutuan, di mana pemimpin politik yang sudah didapati bersalah, masih bergerak bebas.
Tambahnya, sekiranya PN terpilih untuk membentuk kerajaan baharu, mereka akan memastikan amalan politik serta pentadbiran dilakukan dengan lebih bersih, berbanding parti-parti lain.
“Sebagai seorang Islam, bersumpah itu adalah satu yang perkara yang dianggap penting, ia satu bukti kesungguhan parti Perikatan Nasional untuk menentang rasuah. Sebagai seorang Islam, kalau saya langgar, takut saya,
“Sebab itu kita buat begitu (ikrar dan akurjanji integriti), menunjukkan kepada rakyat di negeri Johor, kesediaan kita sebagai petanda kesungguhan kita untuk memerangi rasuah dan penyelewengan,” katanya selepas selesai menyaksikan Majlis Ikrar dan Tandatangan Akujanji Integriti Calon Perikatan Nasional, hari ini.
Majlis angkat sumpah diketuai oleh Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, Bangsa Johor diharap dapat menjadikan PRN ini sebagai satu permulaan untuk membentuk kerajaan berasaskan nilai integriti dan lebih prihatin rakyat.
“Anda (calon PN) semua adalah benteng utama untuk menyekat kemaraan semula kumpulan kleptokrat, yang berasaskan rasuah dan penyelewengan,
“At all costs, we must stop the return of kleptocrats, stop the abuse of powers (kita perlu memerangi kleptokrat, hentikan salah guna kuasa),
“Saya yakin dengan ikrar dan akujanji, maka kita akan pertingkatkan imej, sebagai gabungan yang berpegang pada prinsip integriti, dan akan diyakini seluruh rakyat Johor. Apabila sampai 12 Mac nanti, mereka tidak ragu untuk berikan undi dan menyokong anda calon Perikatan Nasional,” tegasnya.-airtimes.my