Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Op Murni: 16 RAMD komited laksana bantuan mangsa banjir

Op Murni: 16 RAMD komited laksana bantuan mangsa banjir

by Nurulhuda

HULU TERENGGANU, 3 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Batalion 16 Rejimen askar Melayu Diraja (16 RAMD) terus komited dalam menghulurkan bantuan pasca banjir kepada penduduk-penduduk yang terjejas di sekitar Terengganu baru- baru ini.

Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, 10 anggota dari 16 RAMD telah diaturgerakkan ke Taman Firdaus, Ajil, bagi membantu mangsa banjir, pada Rabu.

“Bantuan ini diberikan kepada mangsa-mangsa banjir setelah 4 hari mereka berkampung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan kenaikan paras air dari Tasik Kenyir akibat hujan lebat yang melanda daerah tersebut,

“Kerjasama daripada pihak tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) telah memudahkan aktiviti pembersihan ini dan secara tidak langsung meringankan beban mangsa-mangsa banjir tersebut,

“Inisiatif ini turut disertai oleh Persatuan Rukun Tetangga Taman Firdaus,” jelas hantaran itu.

Tambahnya, bantuan yang dihulurkan ini sejajar dengan dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam serta selaras dengan Kata Kunci Panglima 8 Briged Ke-27 iaitu Gabungan.

Sehingga pagi tadi, bilangan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Terengganu menurun kepada 50 buah berbanding 87 yang direkodkan, semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, setakat pukul 8 pagi ini, kesemua PPS yang menempatkan 11,655 mangsa itu beroperasi di enam daerah manakala di Besut dan Marang kini ditutup.

Katanya, keadaan cuaca baik membolehkan bilangan mangsa bah di Kemaman turun mendadak kepada 4,967 orang diikuti Hulu Terengganu (4,554 orang) dan Dungun (1,478 orang). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply