Home Semasa Pembangkang usul Najib ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

Pembangkang usul Najib ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Blok Pembangkang hari ini mengemukakan usul agar Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan dewan.

Usul tersbeut dikemukan oleh Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun susulan kenyataan Najib dalam sesi perbahasannya di Dewan Rakyat, semalam.

“Bahawa Dewan ini merujuk Ahli Parlimen Pekan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengikut Perkara 36(12) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat atas sebab ucapan beliau dalam Dewan Rakyat pada 2 Mac 2022 mengandungi kenyataan-kenyataan yang mengelirukan Dewan dan boleh disifat sebagai menghina Majlis,

“Perkara ini sudah disampaikan ke pejabat Speaker dalam bentuk surat,” katanya semasa sidang Dewan Rakyat hari ini.

Peraturan Mesyuarat 36 (12) menyatakan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

Pua berkata, usul itu dibuat susulan ucapan Najib ketika membahaskan Titah Diraja semalam telah mengelirukan Dewan dalam beberapa perkara yang dibangkitkan berkaitan isu hutang 1MDB, pengambilalihan pengeluar tenaga bebas (IPP) dan nilai aset Bandar Malaysia.

“Ini palsu kerana kerajaan sudah membayar sebanyak RM8.8 bilion prinsipal dan faedah semasa beliau menjadi Menteri Kewangan,

“Keduanya, beliau sudah menyebut penjimatan kepada penyelesaian perjanjian berat sebelah pengeluar tenaga bebas (IPP), peninggalan zaman Perdana Menteri keempat yang diselesaikan dengan bantuan 1MDB mengambil alih IPP ini sudah menjimatkan sebanyak RM50 bilion. Ini adalah palsu,” tegasnya.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan mesyuarat tersebut memaklumkan bahawa Azhar akan meneliti usul itu sebelum sebarang keputusan dibuat. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply