KUALA LUMPUR, 11 Jan – Pihak-pihak yang menggembar-gemburkan isu urusniaga saham dan mahu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilucutkan jawatannya mempunyai agenda tertentu.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan, pihak berkenaan tidak menurut peruntukan undang-undang yang menyebut seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan.
“Suara-suara yang nyaring di dalam media yang menggembar-gemburkan isu urusniaga saham ini dan mahu Tan Sri Azam Baki dilucutkan jawatan nampaknya mempunyai agenda tertentu apabila tidak menurut ‘rule of law’ di mana ‘nnocent until proven guilty’ adalah asas keadilan,
“Nampaknya, mereka ingin menghukum Tan Sri Azam Baki sebelum ada perbicaraan dan bukti yang kukuh menurut undang-undang negara,
“Agensi SPRM adalah amat penting di dalam agenda membanteras rasuah dan perang media sebegini untuk memulaukan Tan Sri Azam Baki dengan memainkan isu sebegini nampaknya bertujuan memberi persepsi negatif kepada reputasi KP dan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ahmad Faizal juga menjelaskan penjawat awam, khasnya SPRM perlu terus menjalankan tugas dengan berani dan tidak harus takut menjalankan amanah hanya kerana ada pihak tertentu yang berkomplot menjatuhkan imej penjawat awam sebelum ada bukti kukuh dan perbicaraan mahkamah.
Beliau turut meminta semua pihak mesti memberi ruang yang seluas-luasnya supaya siasatan dapat dijalankan tanpa prejudis oleh pihak berkuasa-baik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti dan siasatan dalaman oleh SPRM sendiri.
“KP SPRM Tan Sri Azam Baki telah membuat penjelasan berkenaan isu ini pada 6 Januari 2022, menunjukkan integriti beliau yang tinggi sebagai penjawat awam yang mengamalkan sifat keterbukaan,
“Kerelaan beliau untuk disiasat oleh pihak berkuasa juga harus dipuji dan isu kebertanggungjawaban beliau sebagai KP SPRM tidak harus dibangkitkan di dalam hal ini,
“Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Januari 2022 yang menyatakan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa menolak dakwaan kerajaan berdiam diri di dalam hal ini,” jelas Azumu.
Tambahnya, penjelasan bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, juga menunjukkan bahawa perlantikan Azam Baki adalah di bawah peruntukan Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Di bawah seksyen ini, KP SPRM dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” ujarnya.
Sebelum ini, Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di 2 syarikat pada 2015 ketika beliau memegang jawatan pengarah bahagian siasatan SPRM.
Ia segali gus mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam disarankan berehat daripada jawatan tersebut. -airtimes.my