PUTRAJAYA, 12 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan setiap proses siasatan atau pertuduhan adalah mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan prinsip bebas, telus dan profesional serta tidak sesekali bertujuan menekan mana-mana individu atas faktor politik.
SPRM memaklumkan, tomahan yang dibuat oleh seorang bekas menteri yang mendakwa SPRM sengaja mengada-adakan siasatan bagi tujuan pertuduhan untuk mencemarkan namanya, adalah tidak benar sama sekali serta telah menjejaskan imej suruhanjaya itu.
“SPRM ingin menegaskan bahawa semua siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan maklumat serta bukti-bukti sahih yang diperoleh oleh suruhanjaya ini,
“Tohmahan oleh seorang bekas menteri yang mengatakan SPRM sengaja mengada-adakan siasatan bagi tujuan pertuduhan untuk mencemarkan namanya adalah tidak benar sama sekali,” menurut SPRM dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut SPRM, setiap pertuduhan dijalankan dengan penemuan elemen kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
“Kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan dengan penemuan elemen-elemen kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta akta berkaitan. Kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya,
“Tindakan diambil berdasarkan prinsip bebas, telus dan profesional serta tidak sesekali bertujuan menekan mana-mana individu tertentu atas faktor politik atau seumpamanya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bekas menteri kanan Hamzah Zainuddin berasa pelik selepas namanya disebut dalam kertas siasatan SPRM membabitkan projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika pimpinannya.
Hamzah dilaporkan berkata, tiada pembabitannya di dalam syarikat terbabit dan menegaskan tindakan itu diambil SPRM untuk merosakkan nama baik parti.
Tambahnya, pertuduhan itu jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN). -airtimes.my