Home PolitikPAS /PPBM / LAIN ‘Idealisme, prinsip perjuangan PPBM adalah jati diri saya’ – Azmin Ali

‘Idealisme, prinsip perjuangan PPBM adalah jati diri saya’ – Azmin Ali

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah jati dirinya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM dalam satu kenyataan berkata, PPBM akan bergerak bersama untuk membangunkan sebuah kerajaan yang bersih.

“Kita akan terus bergerak sederap bersama seluruh anggota PPBM untuk membangunkan sebuah kerajaan yang bersih, telus, berintegriti dan komited terhadap prinsip tadbir urus yang baik serta memperjuangkan keadilan sosial demi kemakmuran bersama seluruh rakyat,

“Sesungguhnya, PPBM wadah unggul untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, citra PPBM yang dinamik, progresif dan inklusif amat bertepatan dengan aspirasi zaman demi membangun Malaysia yang bersatu padu dan berupaya mendepani cabaran semasa.

“Idealisme perjuangan PPBM yang meliputi norma kehidupan serta dasar prihatin yang mengangkat martabat rakyat telah berjaya menjana kemakmuran demi kesejahteraan rakyat,

“Justeru, saya amat menghargai dan berterima kasih di atas kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap iltizam dan komitmen saya bersama PPBM sebagai wadah politik dan perjuangan demi rakyat,” ujarnya.

Katanya, dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh Muhyiddin khususnya pakej rangsangan ekonomi yang proaktif serta keputusan pantas yang tepat pada masanya mengenai pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran, telah meletakkan Malaysia di atas landasan yang kukuh dan berdaya tahan bagi menjamin kejayaan pemulihan ekonomi dan usaha menangani krisis kesihatan.

“Walhasil, Malaysia telah diiktiraf sebagai berjaya mengurus pandemik dengan efektif dan bertanggungjawab,

“Kebijakan yang mesra perniagaan telah berjaya mencipta pekerjaan dan kemakmuran untuk rakyat sekaligus merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan pasca pandemik,” jelasnya.

Tegas Mohamed Azmin, PPBM adalah sebuah parti yang berakar dari identiti Melayu dan Bumiputera demi memelihara hak dan kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam.

“Namun sebagai wadah politik yang berpandangan jauh ke hadapan, PPBM juga mahu mendakap realiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama.

“PPBM telah berani melakukan anjakan paradigma dengan meminda Perlembagaan Parti untuk meraikan kepelbagaian kaum dan budaya yang akan menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia,” katanya lagi.

Mohamed Azmin membuat kenyataan tersebut selepas spekulasi yang dikaitkan beliau untuk meninggalkan PPBM seperti Datuk Zuraida Kamaruddin pada 26 Mei lalu. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply