Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Kejayaan Janusha di USNA perlu dijadikan inspirasi – Wan Rosdy

Kejayaan Janusha di USNA perlu dijadikan inspirasi – Wan Rosdy

by Nurulhuda

KUANTAN, 17 Jun – Kejayaan Pegawai Kadet Kanan (PKK) Janusha a/p Bala Krishnan Muthiah dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjadi pegawai wanita pertama negara menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di United States Naval Academy (USNA) mendapat perhatian kerajaan Negeri Pahang.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan anak kelahiran Lipis itu perlu dijadikan inspirasi dan motivasi kepada seluruh rakyat di negeri dan Malaysia mengenai bagaimana perlunya kita mempunyai keazaman serta kegigihan untuk berjaya.

Jelasnya, sebagai tanda penghargaan atas kejayaan itu, kerajaan negeri bersetuju memberi sumbangan RM20,000 dan sijil penghargaan kepada pegawai tersebut.

“Sumbangan kepada anak kelahiran Lipis, Pahang ini adalah sebagai penghargaan atas kecemerlangan beliau menjadi pegawai wanita pertama negara berjaya menamatkan Pengajian dan Latihan Ketenteraan di USNA,

“Saya amat mengagumi kegigihan Janusha dan juga ahli keluarganya yang lain terutama kedua ibu bapanya yang begitu mengambil berat mengenai masa depan anak-anak sehingga kesemua anak-anak mereka memiliki kerjaya yang hebat,” jelasnya menerusi hantaran di media sosial rasminya malam tadi.

Wan Rosdy berkata, kejayaan itu cukup membanggakan kerana USNA adalah sebuah akademi tentera terbaik dan berprestij di dunia.

Dalam hantaran yang sama, Wan Rosdy turut berkongsi latar belakang anak bongsu dari 3 orang adik beradik ini.

“Bapa beliau Balakrishnan Muthiah yang berasal dari Melaka merupakan Penyelia di Hospital Lipis dan bersara pada tahun 2019. Manakala ibunya, S. Saraswathy Subramaniam yang berasal dari Bentong merupakan Ketua Penyelia Jururawat Hospital Lipis dan bersara pada tahun 2017,

“2 kakak Janusha iaitu Chandralehkah dan Shamilaa pula berkhidmat sebagai doktor di Hospital Segamat, Johor,

“Janusha memulakan pendidikan sekolah rendah dari darjah 1 hingga 3 di Sekolah Kebangsaan Paya Pulai, Temerloh dan kemudiannya di Sekolah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis dari darjah 4 hingga 6,” jelasnya.

Kemudian, Janusha menyambung pendidikan di peringkat menengah di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan dari tingkatan 1 hingga 5 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Sekali lagi saya berharap agar Janusha terus maju dan sukses dalam kerjaya pada masa akan datang,” ujarnya.

PKK Janusha dari Class of 2022 telah mula menjalani pengajian dan latihan ketenteraan di USNA pada tahun 2018 bersama 1,085 pelatih dari Amerika Syarikat dan 14 pelatih dari luar negara.

Majlis Tamat Pengajian telah disempurnakan sendiri oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi Tentera Laut Amerika bersama Duta serta Penasihat-penasihat Pertahanan dari pelbagai negara.-airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply