Home Politik PRU15: Parlimen bubar atau tidak, PN sudah bersedia – Muhyiddin

PRU15: Parlimen bubar atau tidak, PN sudah bersedia – Muhyiddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan sama ada Parlimen dibubarkan atau tidak, gabungan itu sudah bersedia untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, PN juga sudah bersedia dengan tawaran baharu yang lebih baik untuk rakyat selari prinsip gabungan itu yang sentiasa mengutamakan rakyat jika menang nanti.

“Saya percaya rakyat akan memilih PN kerana ia merupakan pilihan terbaik masa ini berbanding Pakatan Harapan (PH) yang terkenal kerana tidak menyempurnakan janji,

“Manakala UMNO dan Barisan Nasional (BN) pula sudah terpalit dan bergelumang dengan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, insya-ALLAH,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini sempena pelancaran PN Perak malam tadi.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, Perak merupakan negeri keempat selepas Johor, Kelantan dan Terengganu PN dilancarkan secara rasmi.

“Alhamdulillah malam tadi saya merasa sungguh bertuah dapat melancarkan Perikatan Nasional Negeri Perak dalam satu majlis yang meriah dan bermakna di Kuala Kangsar,” ujarnya.

Katanya, gabungan parti yang terdiri daripada PPBM, PAS dan Gerakan ini  sebenarnya sudah lama bergerak sejurus selepas terbentuknya kerajaan PN.

“Malah Perak merupakan antara negeri yang aktif melaksanakan pelbagai aktiviti dan program khususnya yang melibatkan rakyat,

“Pelancaran pada malam ini sungguh bermakna ketika khabar angin berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 semakin kencang bertiup,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply