Home Semasa Parlimen bubar hari ini – Ismail Sabri

Parlimen bubar hari ini – Ismail Sabri

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 10 Okt – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri membuat pengumuman khas itu menerusi ucapan selama 15 minit yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian mulai jam 3 petang.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, beliau sudah menghadap Yang di-Petuan Agong bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.

“Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam, saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14,

“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya.

Susulan itu, Ismail Sabri mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing- masing pada tarikh yang sama dengan PRU Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN.

“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,

“Sementara itu, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply