KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, mesyuarat induk Muafakat Nasional (MN) wajar dihidupkan semula.
Beliau berkata, pasukan perunding kerusi tidak wajar dihentikan sekerat jalan.
“PAS perlu memperakui bahawa UMNO beberapa kali memohon diteruskan rundingan kerusi tetapi PAS yang tidak melayan dan mengabaikan permohonan tersebut. Kesilapan ini perlu dibetulkan,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, pada Rabu.
Katanya, MN ada jalannya tetapi syaratnya hendaklah menjadi keputusan bersama dan rasmi oleh kedua-dua pimpinan parti.
“Perpaduan ummah antara PAS dan UMNO adalah harapan rakyat Malaysia dengan melihat kepada bilangan ahli dalam kedua-dua parti iaitu 3.2 juta dalam UMNO dan 800 ribu dalam PAS,
“Dan juga melihat kepada sejarah pertembungan panjang dan pahit yang menjarakkan hubungan persaudaraan dan mengorbankan tali silaturrahim kekeluargaan umat Melayu Islam melebihi 40 tahun.
“Tidak sewajarnya perpaduan 2 parti ini menjadi goyah dengan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kecil bilangannya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak wajar diharapkan MN dibina kembali dengan mengenepikan pimpinan utama kedua-dua parti.
“Ibarat hanya diinginkan badan tanpa kepala. Inilah kesilapan dalam pengurusan MN sebelum ini. Ada pihak yang mahukan ‘badan’ sahaja tanpa ‘kepalanya’,
“Satu lagi syarat penting dalam perundingan ialah usah dicampuri urusan dalaman setiap parti. Biarkan masing-masing menguruskan parti mereka sendiri,
“Jangan diulangi kesilapan tahun 1978 apabila ada parti mencampuri urusan pemilihan parti yang menjadi rakan kerjasama sehingga akhirnya terburai ikatan kerjasama. Sejarah pahit tidak wajar diulangi,” jelasnya. – airtimes.my