Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS akan bertindak sebagai pendamai antara UMNO dan PPBM

PAS akan bertindak sebagai pendamai antara UMNO dan PPBM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya akan bertindak sebagai pendamai antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau berkata, walaupun UMNO dan PPBM tidak boleh duduk bersama, namun pelan perdamaian perlu dirangka secara berhemah serta bijaksana agar ia tidak merugikan kedua-dua belah pihak.

“Kita akan bertindak sebagai pendamai antara parti UMNO dan PPBM,

“UMNO negeri-negeri umum nak lawan dalam pilihan raya nanti, boleh nak lawan cuma kita tidak mahu kata pepatah iaitu menang jadi abu dan kalah jadi arang,

“Kita nak berlawan biar cerdik, bijak, kita berlawan untuk capai kemenangan,” katanya semasa ucapan ceramah Pra Sambutan 32 tahun PAS mentadbir Kelantan.

Menurutnya, UMNO dalam Barisan Nasional (BN) dan PAS bersama Perikatan Nasional (PN) tidak boleh bertembung sesama sendiri khususnya dalam 27 kerusi parlimen yang dilihat memberi laluan mudah kepada Pakatan Harapan (PH).

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, PAS tidak akan berhenti daripada melaungkan agenda penyatuan ummah sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

“Kita akan rangka strategi bagi menyekat kemaraan PH. Rugi bergaduh sesama sendiri jika akhirnya kita hanya mengulang kesilapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),

“Selepas pilihan raya lalu menyaksikan kerajaan PH tumbang selepas wakil rakyat PPBM keluar kerajaan, kita pakat tolong UMNO sebab bagi kita musuh utama ialah PH, tidak mahu PH menang lagi,

“Tak kan kita menang nak tolak PPBM tak kena, kita berkawan begitu, PAS dan UMNO dalam kerajaan sekarang kerana jasa PPBM, kalau PPBM tidak keluar kita masih kekal sebagai pembangkang,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PAS perlu sahut seruan Mursyidul Am parti itu, Hashim Jasin dan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Kita tolak mudarat politik yang lebih besar dengan menjayakan agenda Penyatuan Ummah,” tegasnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply