Home PolitikBarisan Nasional Pembangkang guna mitos, naratif dangkal elak PRU awal – Zahid Hamidi

Pembangkang guna mitos, naratif dangkal elak PRU awal – Zahid Hamidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pucuk pimpinan parti agar tidak terpedaya dengan tipu helah pembangkang yang cuba memainkan mitos dan naratif yang lemah serta dangkal berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dicadangkan dalam masa terdekat.

Menurut Ahmad Zahid, naratif sama pernah dimainkan pembangkang ketika 3 siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum dengan mereka menegaskan tidak sesuai sewaktu pandemik COVID-19.

Beliau menjelaskan, pilihan raya ketika menjelang musim banjir, bukanlah bermakna pilihan raya diadakan pada musim banjir seluruh negara sebaliknya berlangsung pada sebelum itu lagi.

“Pembangkang tersalah langkah menggunakan mitos dan naratif banjir seolah-olah suatu yang tak dapat ditangani dan cuba menakutkan pengundi. Ini juga pembangkang pernah gunakan ketika pandemik COVID-19, tapi gagal,

“Akhirnya akibat pembangkang menggunakan isu bencana pandemik sebagai kempen menolak PRN Melaka, Johor dan Sarawak misalnya, pembangkang sendiri tersungkur dihukum oleh pengundi mereka sendiri. Pembangkang bakal berdepan ulangan kekalahan ini,

“Apabila pembangkang tidak ada kelebihan ini, usaha melengahkan pilihan raya umum terus dilakukan. Maka, janganlah kita terpedaya tipu daya pembangkang yang masih cuba bina mitos dan naratif yang lemah dan dangkal,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pembangkang sedar bahawa mereka tidak mempunyai kelebihan walaupun Parlimen bubar, Perdana Menteri sementara ialah daripada UMNO dan BN yang bakal menjalankan fungsi sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Tegasnya, Perdana Menteri sementara itulah akan melaksanakan tugasan rasmi rutin untuk memastikan kerajaan terus berfungsi di samping mesyuarat rasmi berhubung urusan kerajaan boleh diadakan termasuk mempengerusikan mesyuarat Pengurusan Bencana Negara.

“Daripada segi kuasa dan kawalan terhadap banjir pada musim tengkujuh, Perdana Menteri masih ada kuasa dan sukar pula pembangkang menonjol peranan mereka apabila musim tengkujuh. Ini menyebabkan pembangkang berasa sangat terkesan,

“Pembangkang kurang mampu bersaing di padang sama rata dengan parti pemerintah sementara ketika pembubaran Parlimen. Kelebihan ini tidak ada pada pembangkang dan inilah paling dibimbangi oleh pembangkang,

“Perdana Menteri sementara masih mempunyai kuasa yang besar seperti lazim amalan dan konvensyen yang berlaku di negara komanwel,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pakatan Harapan (PH) dan musuh-musuh Barisan Nasional (BN) berusaha melengah-lengahkan PRU-15 agar diadakan tahun hadapan.

“Pembangkang percaya semakin dilengahkan pilihan raya maka peratus kemerosotan mereka akan dapat dibaiki dan semakin naik populariti mereka,

“Mereka (pembangkang) dan musuh BN sedar jika parlimen dibubarkan, mereka dalam keadaan paling tidak bersedia untuk menghadapi rakyat serta tidak ada mekanisne termasuk jentera untuk membolehkan bergerak dengan berkesan seperti BN,

“Mantera bubar, bubar, bubar oleh PH suatu ketika dahulu kini, hilang dari radar, tidak seperti keyakinan dan semangat mereka pada pilihan raya umum 2018,” tegasnya lagi. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply