Home Pertahanan dan Keselamatan 569 veteran ATM nikmati manfaat Program RPEL, tingkat kerjaya kedua

569 veteran ATM nikmati manfaat Program RPEL, tingkat kerjaya kedua

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Seramai 569 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya ditauliahkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) sejak Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) dengan inisiatif Program Reskilling Upskilling Veteran ATM (PRUV ATM) dilaksana pada 2021.

Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dalam kenyataan memaklumkan, Program RPEL tersebut telah menerima peruntukan subsidi oleh kerajaan berjumlah RM1.1 juta dibawah inisiatif PRUV ATM seperti yang diperuntukkan Belanjawan 2021.

Menurut PERHEBAT, seramai 196 graduan yang terdiri daripada anggota ATM dan veteran telah dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) melalui inisiatif RPEL sempena Majlis Konvokesyen Diploma Kemahiran Malaysia (Program RPEL) yang diadakan pada Khamis.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi PERHEBAT, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Bersara).

Beliau menegaskan, anggota ATM dan veteran wajar memanfaatkan program seperti RPEL ini untuk tingkatkan taraf pendidikan dan ada potensi untuk dapat peluang kerjaya serta pendapatan yang lebih baik.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan merangkap Timbalan Pengerusi PERHEBAT, Dr. Anis Mahmud; Ketua Pengarah PERHEBAT, Zakariah Md Sam; Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Dr. Mohamad Sulaiman serta Timbalan Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Laksamana Pertama Azhar Adam.

RPEL adalah program pensijilan berstruktur dengan pendekatan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) yang dilaksana PERHEBAT dengan kerjasama dan pengiktirafan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta Kementerian Sumber Manusia.

“Program ini menyediakan pensijilan DKM dan DLKM khusus untuk anggota ATM dan veteran dalam 20 bidang perkhidmatan ATM seperti Pengurusan Pentadbiran, Penyelenggaraan Pesawat serta Pengurusan Operasi Selam Skuba,

“Satu bidang baharu bakal diperkenalkan iaitu Pengurusan Operasi Pusat Kecerdasan,” jelas PERHEBAT. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply