Home Semasa Sultan Johor perkenan terima taklimat isu Pulau Batu Puteh

Sultan Johor perkenan terima taklimat isu Pulau Batu Puteh

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 22 Okt – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Khamis.

Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu menumpukan perbincangan isu Pulau Batu Puteh.

“Pertemuan berlangsung lebih sejam di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru dengan perbincangan yang tertumpu kepada isu Pulau Batu Puteh,

“Hadir sama pada pertemuan itu ialah Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Dr Abdul Rahim Ramli,” menurut hantaran di laman Facebook rasmi baginda.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim bertitah tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dengan tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri pada 9 Okt lalu mengenai keputusan Kabinet mewujudkan pasukan petugas khas untuk semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa.

Ismail Sabri berkata usaha itu bertujuan menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Batu Puteh. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply