PUTRAJAYA, 10 DIS – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia akan kehilangan lebih banyak jika meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Menurut beliau, keputusan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan ICJ berhubung Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
“Keputusan untuk tidak meneruskan rayuan adalah atas nasihat kumpulan pakar,” katanya dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Tun M menegaskan matlamat utama beliau adalah untuk memastikan Malaysia tidak kehilangan kesemuanya dalam proses rayuan.
“Saya dapati keputusan Mahkamah Antarabangsa 2008 memberi Batuan Tengah pada Malaysia dan Tubir Selatan pula milik pihak yang mana paling hampir kepadanya,
“Maka adalah amat perlu bagi Malaysia memaju dan membangun kawasan perairan sekitar Batuan Tengah bagi memboleh kita meluas kawasan yang ada,
“Saya juga dapati kalau kita silap langkah teruskan dengan permohonan Semakan dan Tafsiran, ia ada kemungkinan mudaratkan kepentingan Malaysia. Ini risiko yang kita tidak harus ambil,” tegasnya.
Dalam kenyataan yang sama, Tun M menegaskan kumpulan pakar undang-undang luar membuat kesimpulan bahawa semakan yang dirancang mempunyai peluang yang tipis.
“Melalui Ringkasan Pendapat bertarikh 23.1.2017 kes-kes permohonan semakan melalui statut/undang-undang Mahkamah Antarabangsa adalah mempunyai halangan yang tinggi untuk dilepasi (high bar to applications in the statute of ICJ with regard to revision cases),
“Setakat 23.1.2017, kesimpulan pakar luar negara adalah semakan yang dicadang akan mengalami kegagalan, walaupun ada peluang tipis,” kata kenyataan itu.
Beliau turut menyatakan Malaysia pada 25 Januari 2017 telah memohon nasihat segera mengenai “fakta-fakta baharu yang mungkin boleh dihujahkan, yang mana lagi sekali kesimpulan pakar luar negara adalah Semakan yang dicadang akan mengalami kegagalan, walaupun boleh dihujahkan”.
“Pada 26.1.2017, pakar-pakar luar negara telah menekankan lagi sekali bahawa peluang Malaysia tipis dan akan mengalami kegagalan,
“Pada 11.5.2017, pakar-pakar luar negara telah memberikan Pandangan Bersama (Joint Opinion) terhadap permohonan untuk Tafsiran dan dinyatakan bahawa walaupun permohonan Tafsiran yang bermerit boleh difailkan tetapi mereka menyatakan kemungkinan besar ICJ akan mengekalkan Keputusan 2008,
“Melalui Pandangan Bersama juga dinyatakan bahawa terdapat juga kemungkinan ICJ menafsir sesuatu yang bertentangan atau tidak menyebelahi kepentingan Malaysia,
“Bahawa pasukan pakar luar negara telah mengadakan mesyuarat seharian pada 14.5.2018 untuk mengkaji kesemua dokumen-dokumen serta hujahan-hujahan dan pandangan pasukan pakar luar negara adalah sama dengan pandangan-pandangan sebelum itu iaitu Malaysia mempunyai prospek yang lemah untuk berjaya,” jelas kenyataan itu.
Sebelum ini, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mencadangkan agar satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan satu siasatan jenayah dimulakan terhadap bekas Tun M.
Mengulas perkara tersebut, Tun M menyatakan beliau masih belum dituduh untuk apa-apa kesalahan.
“Belum juga dipanggil oleh pihak Polis atas apa-apa laporan mengenai RCI ini,” ujar beliau. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #BatuPuteh