JOHOR BAHRU, 16 Mei – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima laporan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan Kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah serta Tubir Selatan di Istana Polo, pada Ahad.
Menerusi laman sosial Sultan Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah mempersembahkan laporan berkenaan serta taklimat kepada Sultan Johor.
Berangkat sama ke pertemuan itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim,
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Pada 29 Oktober lalu, kabinet telah bersetuju untuk membentuk Pasukan Petugas Khas berkenaan ekoran keputusan Kerajaan Persekutuan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah bahawa keputusan sedemikian seolah-olah mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang di mahkamah berkenaan, walaupun ada pertemuan bukti baharu yang memihak kepada Malaysia.
“Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil? Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu?,” soal baginda dalam satu kenyataan pada tahun lalu.
Sultan Ibrahim, dalam pertemuan semalam, menegaskan sekali lagi kepada Pasukan Petugas Khas bahawa sebab-sebab keputusan kerajaan Tun Dr. Mahathir untuk tidak meneruskan semakan semula kes itu di ICJ perlu dijadikan pengetahuan umum.
“Ini adalah soal kedaulatan negeri Johor. Rakyat Johor berhak untuk mengetahui mengapa Kerajaan PH mengambil keputusan sedemikian,” titah baginda. – airtimes.my