Home Semasa Pulau Batu Puteh: PH cuai pertahan kedaulatan Malaysia – Khaled Nordin

Pulau Batu Puteh: PH cuai pertahan kedaulatan Malaysia – Khaled Nordin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menegaskan Pakatan Harapan (PH) cuai semasa mempertahankan kedaulatan Malaysia dalam isu Pulau Batu Puteh.

Beliau mengulas keengganan kerajaan PH meneruskan proses semakan semula Pulau Batu Putih di Mahkamah Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2018.

Khaled dalam satu hantaran dalam akaun media sosial rasminya berkata, satu permohonan untuk semakan telah dikemukakan oleh Malaysia pada Februari 2017 setelah bukti baharu untuk mengukuhkan hujah negara telah ditemui.

“Benar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak boleh di rayu. Tetapi dengan timbulnya bukti terbaru, satu permohonan untuk semakan telah dikemukakan,

“Malaysia juga mengemukakan permohonan untuk ICJ mentafsirkan penghakimannya pada 2008 tentang Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge),

“ICJ telah bersetuju untuk mendengar penghujahan Malaysia dengan memberikan tarikh untuk pendengaran semakan tersebut,” kata bekas Menteri Besar Johor.

Beliau menambah 2 daripada 3 bukti baharu merupakan dokumen yang hanya boleh diakses setelah tahun 2008.

“Secara undang-undang, dokumen tersebut hanya boleh diakses setelah tamat tempoh kerahsiaannya,” ujarnya.

Jelas Khaled, dokumen pertama menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura tidak pernah menggangap Pulau Batu Puteh sebahagian dari Singapura.

“Dokumen kedua menunjukkan bahawa Tentera Laut British memperakui bahawa perairan di kawasan ketiga-tiga pulau tersebut adalah perairan dan wilayah Johor,

“Dokumen terakhir menunjukkan bahawa peta-peta operasi Tentera Laut British menunjukkan sempadan wilayah Singapura tidak termasuk Pulau Batu Puteh,

“Semua dokumen tersebut, dengan jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Puteh tidak berada dalam wilayah republik itu,” katanya.

Menurutnya, penemuan bukti baharu ini memerlukan ICJ memutuskan nilainya terhadap tuntutan Malaysia.

“Persoalan sebenar ialah apakah sebab sebenarnya Kerajaan PH tidak meneruskan semakan terhadap penghakiman Pulau Batu Puteh,

“Jadi kenapa di sebalik semua bukti baru ini, Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskannya proses semakan tersebut,

“Jika Tun Mahathir telah dinasihati oleh sekumpulan pakar undang-undang antarabangsa, siapakah mereka dan apakah nasihat yang mereka kemukakan dalam konteks bukti baru yang ditemui,

“Yang jelas, Kerajaan PH telah cuai dalam tindakannya mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia dan wajar dipertanggungjawabkan ke atas tindakan culas tersebut,” tegas Khaled. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply