KOTA KINABALU, 22 Okt – Kapal misi pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) ketiga, KD BADIK telah ditauliahkan secara rasmi ke dalam perkhidmatan ketiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hari ini.
Markas Pemerintahan Armada Timur dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya menyatakan Upacara Pentauliahan telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK).
“Aset ketiga kapal misi pesisir yg juga skuadron LMS ke-11 TLDM telah selamat ditauliahkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Majlis penuh istiadat ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut,” katanya.
Nama Badik digunakan untuk melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang serta menangkis serangan musuh.

Upacara Pentauliahan KD BADIK telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK), hari ini.
Kapal ini mula dibina pada 18 September 2019 dan telah dilancarkan ke permukaan air pada 28 Oktober 2020 oleh Pasukan Projek LMS TLDM di Wuhan.
Ia diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Malaysia pada 14 September 2021 di Qidong, China,
KD Badik kemudiannya tiba di PTKK pada 25 September lalu selepas menempuhi 7 hari pelayaran dari Qidong, China ke Kota Kinabalu.
LMS merupakan salah satu daripada 5 kelas kapal yang termaktub dibawah Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM.
Dalam pelan tersebut, TLDM telah menggariskan perolehan sebanyak 18 buah kapal LMS.
Setakat ini, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan perolehan sebanyak 4 buah kapal LMS. – airtimes.my