Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan tiada rancangan bina pangkalan baharu di Kelantan

Kementerian Pertahanan tiada rancangan bina pangkalan baharu di Kelantan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Kementerian Pertahanan tiada perancangan untuk membina pangkalan baharu di Kelantan.

Beliau menjelaskan infrastruktur dan aset operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) adalah memadai bagi menghadapi situasi keselamatan semasa di perairan Pantai Timur Semenanjung.

“Kawalan keselamatan perairan Kelantan dan seluruh Pantai Timur Semenanjung dipantau oleh MAWILLA 1 yang berpangkalan di Kuantan,” katanya bagi menjawab pertanyaan lisan Dewan Negara Mesyuarat Pertama 2021, Penggal Keempat Parlimen ke-14 dari Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, semalam.

Dr Wan Martina minta Menteri Kanan Pertahanan menyatakan apakah pihak Kerajaan mempunyai perancangan untuk menambah Kem Tentera di Kelantan terutamanya Pangkalan Tentera Laut agar keselamatan negara semakin kukuh dan sesuai dengan kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan Laut China Selatan.

Menurut Hishammuddin, keperluan mewujudkan pangkalan tentera laut baharu di Kelantan ataupun negeri-negeri lain di Pantai Timur Semenanjung akan sentiasa diberi perhatian sejajar dengan keperluan dan perkembangan situasi keselamatan perairan negara.

Manakala bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula, Pangkalan Udara Gong Kedak yang terletak di sempadan negeri Kelantan dan Terengganu berupaya menyokong operasi yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara terutama di Laut China Selatan. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply