Home Semasa Air Selangor: Kerja senggaraan LRA SSP1 bermula pagi tadi

Air Selangor: Kerja senggaraan LRA SSP1 bermula pagi tadi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset utama di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang telah bermula pada jam 9 pagi tadi dijangka siap pukul 11 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan bekalan air dijangka pulih pada 9 malam, Sabtu ini (16 Okt).

“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna bermula pukul 5 petang esok setelah sistem bekalan air telah distabilkan,

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pukul 9 malam, Sabtu ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Air Selangor menambah, bantuan air alternatif disediakan melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

“Penggguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor atau hubungi Air Selangor di talian 15300,” tambahnya.

Sebanyak 998 kawasan di 7 wilayah di Lembah Klang dijangka akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 4 hari bermula hari ini.

7 wilayah itu melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di LRA SSP1 tertangguh daripada jadual asal iaitu pada 2019 dan 2020, berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply