Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Kes dadah: Pelakon bukan anggota TUDM

Kes dadah: Pelakon bukan anggota TUDM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menegaskan bahawa seorang pelakon yang ditahan kerana memiliki dadah baru-baru ini tidak pernah berkhidmat dengan TUDM ataupun Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan berkata, gambar pelakon dengan berpakaian juruterbang tersebut adalah semasa beliau memegang watak sebagai Juruterbang TUDM dalam sebuah drama bertajuk ‘Gempur Wira’ yang disiarkan dalam Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2018.

“Berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh beberapa media, blogger dan pengguna media sosial berkenaan seorang artis ditangkap kerana memliki dadah telah disensasikan dengan penggunaan gambar beliau berpakaian juruterbang TUDM,

“Isu ini telah menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta mencalarkan imej TUDM,” jelas kenyataan itu.

Oleh itu, TUDM amat kesal dengan tindakan penggunaan gambar artis berkenaan yang berpakaian juruterbang TUDM yang dipaparkan di dalam artikel berkaitan dakwaan kesalahan jenayah yang telah dilakukan oleh beliau yang memberikan kesan imej yang negatif.

Dalam masa yang sama, TUDM meningatkan pihak media, pengguna media sosial dan blogger agar lebih peka serta berhati-hati melibatkan penggunaan gambar untuk sebarang artikel yang dikeluarkan agar ianya tidak menimbulkan kekeliruan kepada masyarat sekaligus mencalarkan imej TUDM khasnya dan ATM keseluruhannya.

“Justeru, pihak TUDM meminta agar mana-mana media, blogger dan pengguna media sosial untuk tidak mengaitkan pelakon tersebut dengan TUDM dan dimohon dapat dibuat pembetulan bagi mana-mana artikel yang telah dimuat naik,” tambahnya.

Sebelum ini, pelakon tersebut bersama pengarah filem seta penolong pengarah ditahan kerana memiliki dadah dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak.

Pelakon tersebut didakwa memiliki 1.15 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, di Kuala Kangsar, pada pukul 7.15 pagi pada 10 Oktober lalu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply