Home Semasa Sekretariat Solidariti Rakyat berjaya kumpul derma RM92,800 dalam masa sehari

Sekretariat Solidariti Rakyat berjaya kumpul derma RM92,800 dalam masa sehari

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyumbang kepada tabung bantuan guaman dan kompaun 31 peserta program memorial memperingati mangsa yang gugur akibat COVID-19 di Dataran Merdeka pada 19 Ogos lalu.

SSR dalam satu kenyataan berkata, sumbangan tersebut berjaya dikumpul sebanyak RM92,800 dalam masa sehari.

“Kami amat terharu dengan sokongan yang diberikan di mana kami mendapat sumbangan sebanyak RM 92,800 di dalam masa yang cukup singkat iaitu hanya sehari,

“Sumbangan ini melibatkan transaksi oleh 668 orang yang melibatkan jumlah purata sebanyak RM139, dan ramai juga yang turut menyumbang dengan nilai RM10 dan RM20,

“Ini sekaligus menunjukkan bahawa tuntutan #Lawan didukung oleh setiap lapisan masyarakat di dalam usaha bersama menggerakkan proses pendemokrasian di Malaysia dan menjamin kelangsungan kehidupan rakyat biasa,” katanya.

Pautan berita: Program memorial mangsa COVID-19: Penganjur mohon bantuan orang ramai bayar kompaun RM62 ribu

Menurut SSR, pihaknya akan memperincikan jumlah perbelanjaan yang telah digunakan bagi memastikan ketelusan serta kejujuran dalam mengendalikan sumbangan yang diamanahkan oleh semua rakyat Malaysia dalam masa terdekat.

Pada masa sama, SSR dengan ini menutup kempen tabung bantuan guaman dan kompaun #Lawan.

“Pihak SSR juga menegaskan bahawa kita akan meneruskan tuntutan #Lawan dari semasa ke semasa bagi memastikan suara rakyat terus bergema sehingga sampai ke telinga para penguasa,” jelasnya.

Pautan berita: 31 individu dikompaun RM2,000 seorang sertai perhimpunan memorial mangsa COVID-19

Semalam, SSR memohon sumbangan orang ramai bagi membantu membayar kompaun sebanyak RM62,000 kepada 31 peserta yang berhimpun di Dataran Merdeka.

Katanya, 31 peserta yang hadir membakar lilin dan meletakkan bunga ros sebagai memorial telah dikompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.  – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply