Home Semasa 31 individu dikompaun RM2,000 seorang sertai perhimpunan memorial mangsa COVID-19

31 individu dikompaun RM2,000 seorang sertai perhimpunan memorial mangsa COVID-19

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Seramai 31 individu yang terdiri daripada ahli Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang berhimpun dalam program memorial memperingati mereka yang gugur disebabkan pandemik COVID-19 di Dataran Merdeka malam tadi dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua mereka yang terlibat telah dikompaun sebaik sahaja keterangan selesai diambil.

Beliau berkata, pasukan pematuhan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah mengesan sekumpulan individu sedang berhimpun di Dataran Merdeka dalam program memorial memperingati mereka yang gugur disebabkan pandemik COVID-19 oleh SSR kira-kira pukul 8 malam tadi.

“Dalam perhimpunan tersebut, didapati 31 orang terdiri daripada ahli SSR sedang berhimpun sambil membakar lilin dan memegang kain rentang berwarna putih yang tertulis ‘Belasungkawa jiwa-jiwa yang telah pergi’,

“Kesemua yang terlibat di dalam perhimpunan tersebut telah dibawa balik ke IPD untuk diambil keterangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, polis Dang Wangi telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (perhimpunan tanpa notis), Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Berjangkit 1988 serta Peraturan 10 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Dalam pada itu, Noor Dellhan turut menasihati orang ramai supaya terus mematahui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam memerangi wabak COVID-19.

“Kegagalan mematuhi SOP ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply