Home Semasa 200,000 dos vaksin CanSino tiba di Malaysia hari ini

200,000 dos vaksin CanSino tiba di Malaysia hari ini

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 20 Ogos – Sebanyak 200,000 dos vaksin CanSino berbentuk ‘finished product’ daripada pembekal CanSino Biologics, China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.50 pagi tadi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam hantaran di media sosialnya berkata, vaksin CanSino itu dibawa menaiki MAS Kargo menggunakan pesawat MH361 dengan penerbangan dari Beijing, China.

Ketibaan vaksin itu disambut oleh Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir.

“Vaksin CanSino ini adalah dos tunggal yang pertama sampai untuk digunakan dalam program Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Malaysia,

“Ketika ini, 3 jenis vaksin diberikan untuk penduduk Malaysia di bawah PICK, iaitu Pfizer BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca. Manakala satu lagi vaksin iaitu Johnson & Johnson turut telah mendapat kelulusan bersyarat,” katanya.

Katanya, vaksin CanSino yang diterima itu adalah sebahagian daripada 3.5 juta dos yang telah ditempah oleh Malaysia dengan penghantaran dibuat secara berperingkat.

“Vaksin CanSino ini diterima daripada pembekal, Solution Biologics yang merupakan Pemegang Pendaftaran Produk bagi vaksin CanSino di Malaysia,

“Vaksin CanSino mendapat kelulusan penggunaan bersyarat untuk kegunaan kecemasan di Malaysia oleh Pihak Berkuasa Bekalan Dadah (PKBD) pada 15 Jun yang lalu,” ujarnya.

Tambahnya, bekalan vaksin ini akan dapat memperhebatkan lagi PICK terutamanya di kawasan yang rendah akses dan seterusnya membantu Malaysia mencapai sasaran imuniti kelompok seperti yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut garis masa yang ditetapkan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply