Home Semasa Program memorial mangsa COVID-19: Penganjur mohon bantuan orang ramai bayar kompaun RM62 ribu

Program memorial mangsa COVID-19: Penganjur mohon bantuan orang ramai bayar kompaun RM62 ribu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Penganjur program memorial memperingati mangsa yang gugur akibat COVID-19 iaitu Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) memohon sumbangan orang ramai bagi membantu membayar kompaun kepada 31 peserta yang ditahan pada 19 Ogos lalu.

SSR dalam kenyataan berkata, 31 peserta yang hadir membakar lilin dan meletakkan bunga ros sebagai memorial telah dikompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.

“Sehubungan itu, kami ingin meminta jasa baik rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi untuk menyumbang bagi membantu peserta membayar kompaun yang dikenakan. Sumbangan boleh disalurkan ke 8603878996 CIMB Bank,” katanya.

Menurutnya, pihak SSR sedang berbincang dengan beberapa rakan peguam berkenaan tindakan yang akan diambil dan mereka tidak menolak untuk menyaman pihak polis kerana tangkapan yang dibuat tidak berasaskan lunas perlembagaan dan peserta yang ditahan tidak diberikan akses untuk diwakili oleh peguam setiap seorang.

Pautan berita: Program peringati mangsa COVID-19 sebagai ingatan kepada ahli politik – Asraf Sharafi

“Kami telah membuat laporan polis pada 22 Ogos 2021 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul agar siasatan dibuat terhadap pegawai polis IPD Dang Wangi yang telah menahan peserta pada malam tersebut,

“Pada 19 Ogos yang lepas, SSR telah menganjurkan malam mengenang lebih 13,000 rakyat Malaysia yang telah pergi akibat daripada COVID-19,

“Malam tersebut yang sepatutnya menjadi ruang untuk bertafakur sejenak bagi mengenang rakan-rakan serta saudara-mara yang telah terkorban bertukar menjadi kecoh apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan kesemua mereka yang hadir,” jelasnya.

Pautan berita: 31 individu dikompaun RM2,000 seorang sertai perhimpunan memorial mangsa COVID-19

Jelasnya, kesemua 31 peserta ditahan di bawah 3 akta iaitu Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman, Seksyen 21A Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1985 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit.

“Namun demikian, peserta malam tersebut juga dinasihatkan untuk membayar kompaun yang dikenakan. Jumlah kompaun adalah sebanyak RM62,000 melibatkan 31 orang peserta,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply