Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Anggota tentera ingkar terima vaksin boleh dikenakan tindakan

Anggota tentera ingkar terima vaksin boleh dikenakan tindakan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Pengambilan suntikan vaksin adalah diwajibkan terutamanya sebelum melaksanakan sesuatu penugasan, kecuali mereka yang tergolong di dalam kumpulan yang tidak layak untuk menerima vaksin.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan berkata, tindakan seseorang anggota tentera yang ingkar atau enggan untuk menerima vaksin, boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap.

Menurut TDM, pengambilan vaksin di dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar anggota TDM hidup secara berkelompok.

“Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan, turut berdepan dengan kebolehjangkitan COVID-19,

“Sehubungan itu, adalah wajar untuk kesemua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan anggota TDM, bahkan boleh menjangkiti keluarga anggota TDM dan masyarakat keseluruhannya,” katanya, hari ini.

Terdahulu, seorang anggota tentera Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (24 RAMD) yang berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan dibuang perkhidmatan selepas enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Dalam pada itu, TDM menjelaskan, langkah pemberian vaksinasi ini juga bertujuan mendukung hasrat dan aspirasi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok seterusnya memutuskan rangkaian penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Setiap anggota hendaklah mematuhi dan menuruti perintah yang telah dikeluarkan, bagi menentukan misi dan kesiapsiagaan organisasi tercapai,” ujarnya. -airtimesmy

Related Articles

Leave a Reply