KLANG, 24 Ogos – Polis Marin (PPM) Wilayah 1 berjaya membongkarkan lokasi pemindahan arak seludup di kawasan tapak kenderaan sebuah flat kos rendah di Shah Alam, semalam.
Komander Pasukan PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, dalam serbuan pada pukul 10.30 pagi itu, pihaknya berjaya menahan 2 lelaki berusia 23 dan 39 tahun bersama 467 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM 5,550.69 termasuk cukai.
Beliau berkata, pembongkaran itu hasil pemantauan unit risikan marin PPM Pelabuhan Klang yang menjalankan tugas Ops Landai.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati 2 suspek dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah kotak daripada van jenis Toyota Hiace ke dua buah kereta masing-masing jenis Proton Iswara dan Nissan Sentra,
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai jenama minuman keras tidak bercukai seperti jenama Mc Dowell’s, Club 99 Whisky, Royal Dutch dan Louis Martin di kesemua kenderaan tersebut,” katanya dalam hantaran di media sosial PPM Wilayah 1, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut sejak sebulan lalu untuk pasaran tempatan dan menumpukan pembeli dalam kalangan warga asing.
“Hasil rampasan termasuk kenderaan tersebut dianggarkan bernilai RM 100,550.69,
“Kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” ujarnya. – airtimes.my