Home PolitikPakatan Harapan Insiden pesawat China: PH gesa Menteri Pertahanan adakan taklimat dwipartisan

Insiden pesawat China: PH gesa Menteri Pertahanan adakan taklimat dwipartisan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH) mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan taklimat khas dwipartisan di antara pihak kerajaan dan pembangkang untuk menjelaskan maklum balas Malaysia terhadap kejadian 16 pesawat China yang memasuki ruang udara negara, pada Isnin.

JKPH dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya akan menulis surat kepada Menteri Pertahanan untuk mengadakan taklimat rasmi bersama Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Udara bagi membincangkan langkah dan keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi isu kedaulatan negara secara bersama.

“Kerajaan harus mengemukakan rancangan tindakan yang jelas dan juga membenarkan ahli-ahli Parlimen membincangkan insiden mustahak ini demi kepentingan negara,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa terbabit turut menegaskan insiden itu mengancam keselamatan penerbangan, mencabar kedaulatan negara dan menjejaskan hubungan antarabangsa.

“Mengikut Strategi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), tanggungjawab memelihara keselamatan negara bukan sahaja terletak atas bahu anggota keselamatan semata-mata tetapi juga seluruh warganegara Malaysia,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan, pada Selasa.

Kenyataan bersama itu ditandatangani bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya, Liew Chin Tong (DAP) dan Datuk Johari Abdul (Parti Keadilan Rakyat).

Tambahnya, insiden ini jelas menunjukkan bahawa walaupun dunia dilanda wabak COVID-19, ancaman konvensional terhadap negara tetap menjadi duri dalam daging di dalam negara.

“Oleh itu, sangat penting bagi pihak kerajaan untuk melaksanakan program pemodenan ATM berlandaskan Kertas Putih Pertahanan 2019 dengan kadar segera,” jelas kenyataan itu lagi.

Semalam, Tentera Udara Diraja Malaysia mendedahkan telah mengesan dan mengusir sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) di Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021.

Insiden kemasukan pesawat tentera China itu berlaku menjelang Ulang Tahun TUDM Ke-63 yang disambut semalam.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, insiden pesawat tentera udara China masuk ruang udara negara merupakan perkara serius kepada ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan.

Ackbal menjelaskan, penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi, Isnin.

“Insiden ini telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan ATM berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN) dan Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply