Home Semasa Sumbangan elaun: Terima kasih penjawat awam – Muhyiddin

Sumbangan elaun: Terima kasih penjawat awam – Muhyiddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan penghargaan terima kasih kepada penjawat awam berhubung sumbangan kewangan bagi membantu negara dalam memerangi pandemik COVID-19.

Beliau sangat menghargai dan menyambut baik solidariti penjawat awam yang akan turut serta memberi sumbangan kepada negara bagi memerangi COVID-19 melalui potongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA).

“Sumbangan oleh penjawat awam tidak termasuk petugas barisan hadapan dan kakitangan kerajaan gred 1 hingga 28 ini akan dimasukkan ke Akaun Amanah Bencana COVID-19,

“Ini membuktikan kebersamaan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab bersama kerajaan memerangi pandemik COVID-19,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.

Menurutnya, solidariti ini mencerminkan sokongan penjawat awam terhadap perjuangan para frontliners yang berusaha tanpa henti untuk membendung dan melindungi kita semua daripada jangkitan COVID-19.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua kakitangan awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang lebih setahun menguruskan pandemik COVID-19 ini,

“Saya doakan agar semua penjawat awam di seluruh negara, tidak kira apa pun peranan anda dalam perjuangan kita memerangi COVID-19 ini akan terus diberkati Allah SWT.

“Semoga kita semua dan Malaysia dilindungi daripada ancaman wabak ini. Insya-Allah,” jelasnya.

Pada Selasa, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, seramai 800,000 orang penjawat awam akan menyumbangkan kira-kira RM30 juta elaun tetap tidak termasuk petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28.

Sumbangan tersebut sebagai manifestasi solidariti penjawat awam dan tanda kebersamaan dalam usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply