KOTA TINGGI, 2 Jun – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mematahkan cubaan menyeludup barangan terlarang yang dibawa sebuah bot dari negara jiran, berhampiran Pulau Che Kamat di perairan Teluk Ramunia, semalam.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, tekong dipercayai warga Indonesia itu berjaya ditahan oleh bot pemintas FCB 1326 dan RHIB Lepau yang melaksanakan rondaan Operasi Benteng Laut di kawasan tersebut.
“Sekitar jam 3.15 pagi, bot pemintas TLDM FCB 1326 dan RHIB Lepau telah mengesan sebuah bot mencurigakan menuju ke arah Pulau Che Kamat dari perairan negara jiran,
“Tindakan pantas kedua-dua bot berkenaan telah berjaya memintas bot yang disyaki tersebut,” menurut kenyataan itu.
Katanya, hasil pemeriksaan didapati, seorang tekong ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta membawa barangan yang terdiri dari 20 liter minyak, 1 kotak berisi ayam selasih dan 1 kotak berisi burung merpati.
“Nilai rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM 7,000.00,
“Tekong beserta barang rampasan telah diserahkan kepada Tim Operasi Merpati 1 Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk siasatan dan saringan COVID-19,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menggugat keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.
“TLDM juga akan sentiasa memastikan perairan dan kedaulatan negara terpelihara dengan memperkasakan kesiagaan aset-aset Op Benteng Laut melalui mempertingkatkan kerjasama bersepadu antara agensi-agensi lain yang terlibat,” ujarnya. -airtimes.my
