Home Semasa COVID-19: Kerajaan nilai semua PKP di negeri catat peningkatan kes – Perdana Menteri

COVID-19: Kerajaan nilai semua PKP di negeri catat peningkatan kes – Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Kerajaan akan menilai semula perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa khususnya di negeri-negeri yang sedang mengalami peningkatan kes-kes positif COVID-19 secara mendadak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian semula ini penting dilaksanakan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa dan tindakan yang diambil adalah berkesan untuk membendung penularan COVID-19 yang sedang meningkat di negara kita dan di seluruh dunia.

“Kerajaan telah pun menggunakan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan COVID-19,

“Premis-premis ini akan diarah tutup jika dikesan telah dilawati oleh sejumlah besar mereka yang positif COVID-19,” kata Muhyiddin dalam kenyataan , hari ini.

Beliau menegaskan, pendekatan itu selari dengan keputusan kerajaan untuk mengawal dan membendung penularan jangkitan COVID-19 secara bersasar.

“Melalui sistem tersebut, pemantauan dilakukan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi- lokasi tumpuan awam yang berisiko tinggi,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Muhyiddin turut menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengelakkan daripada berada di tempat yang sempit dan sesak bagi melindungi diri, keluarga serta masyarakat daripada jangkitan COVID-19.

Sehingga semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 3,788 kes baharu COVID-19 dan sekaligus menjadikan jumlah kes kumulatif dalam negara meningkat kepada 408,713 kes.

Sementara itu, jumlah kes aktif pula sebanyak 29,277 kes. Manakala negeri Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,265 kes dan diikuti Sarawak (760) serta Kelantan (464) kes. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply