KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kes harian COVID-19 di negara terus mencatatkan 5 angka dengan 21,839 kes dilaporkan pada Jumaat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif individu akibat jangkitan wabak berkenaan meningkat kepada 4,101,081 kes.
Beliau berkata, jumlah kes itu membabitkan 21,552 kes penularan tempatan dengan 287 kes import yang mendapat jangkitan luar negara.
“Paling tinggi kategori yang dikesan semalam adalah kategori 2 iaitu sebanyak 12,299 kes atau 56.31 peratus, dikuti kategori satu (9,401), kategori 3 (60), kategori 4 (42) dan kategori 6 (37) kes,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan yang dilaporkan semalam, sebanyak 139 kes bagi kategori 3 hingga 5.
“Sebanyak 32 kes (23.02 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 69 kes (49.64 peratus) menerima 2 dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak,
“Manakala, sebanyak 38 kes (27.34 peratus) sudah menerima dos penggalak (booster),
“81 kes (58.27 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas manakala 78 kes lagi (56.12 peratus) mempunyai komorbid serta 3 kes membabitkan ibu mengandung,” jelas Dr Noor Hisham.
Tambahnya, sebanyak 291 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 142 kes disahkan COVID-19 serta 149 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
“Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 188 kes iaitu 95 kes disahkan COVID-19 serta 93 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak 22,324 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di Malaysia adalah 3,819,299 kes.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, 4 negeri iaitu Putrajaya (100 peratus), Kuala Lumpur (67 peratus), Johor (55 peratus) dan Selangor (51 peratus) menunjukkan peratusan pengisian katil ICU melebihi 50 peratus.
“Bagi katil bukan ICU, 8 negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus didahului dengan Putrajaya (80 peratus), Selangor (73 peratus), Kuala Lumpur (61 peratus), Terengganu (57 peratus), Sarawak (55 peratus), Melaka (54 peratus), Negeri Sembilan (54 peratus) dan Perak (53 peratus),
“Bagi pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 188 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 21 peratus,” tegasnya. -airtimes.my