Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara COVID-19: Muhyiddin tinjau proses penghantaran barangan kritikal ke Malaysia Timur

COVID-19: Muhyiddin tinjau proses penghantaran barangan kritikal ke Malaysia Timur

by Nurulhuda

SUBANG, 30 Okt – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat tinjauan proses penghantaran bekalan kritikal ke Sabah dan Sarawak dalam memerangi wabak pandemik COVID-19 di Pangkalan Udara (PU) Subang, hari ini.

Bahagian Perhubungan Awam, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan berkata, Muhyiddin tiba di PU subang pada jam 8.30 pagi dan disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM.

Beliau kemudiannya, diberikan taklimat ringkas oleh Panglima Tentera Udara berkenaan penugasan pesawat-pesawat TUDM di dalam misi membantu memerangi wabak COVID-19 sepanjang tahun ini di Sabah dan Sarawak.

Sejurus selepas taklimat, Perdana Menteri kemudiannya meninjau proses persiapan memasukkan barang-barang bantuan ke dalam badan pesawat oleh anggota Cabang Pergerakan Udara Subang serta anak kapal pesawat yang terlibat bagi penghantaran ini.

Pada hari ini, 2 buah pesawat angkut telah diaturgerak oleh TUDM bagi misi ini iaitu A400M dari No. 22 Skuadron dan C-130H daripada No. 20 Skuadron.

“Pesawat A400M (RMF 182A) telah diterbangkan oleh Mej In’amul Hasan Shuhaimi TUDM, Mej Tengku Syed Muhammad Amin Tengku Syed Abdul Rahman TUDM, Kapt Mohd Mazhan Puteh @Abdullah TUDM,

“Pesawat ini akan membuat penerbangan dari Pangkalan Udara Subang ke Kuching, Tawau dan Kota Kinabalu serta kembali semula ke Pangkalan Udara Subang. Pesawat ini berlepas pada jam 10.00 pagi tadi,

Menurut TUDM, penerbangan ini membawa 15 tan barangan keperluan dan peralatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Komoditi, Yayasan Amal Malaysia, Kementerian Pertahanan serta Sunway Healtcare.

Pesawat angkut kedua iaitu C-130H (RMF-182 B) pula telah diterbangkan oleh Kapt Aiman Mohd Akbar TUDM, Kapt Mohammad Amirol Mohd Deran TUDM dan Kapt Mohd Solihin Azman TUDM (Navigator).

“Pesawat yang membawa 5 tan barangan kelengkapan KKM ini berlepas pada jam 10.30 pagi tadi,” tambahnya.

Untuk rekod, bermula dari 22 Mac hingga 27 Okt 2020, sebanyak 17 penerbangan atau sortie penghantaran telah berjaya dilaksanakan oleh TUDM melibatkan jumlah muatan barang bantuan seberat 433,886.5 kg.

Antara barang yang dibawa adalah set PPE, pelitup muka, sarung tangan, hand sanitizer, peralatan hospital medan ATM, peralatan hospital KKM, mesin x-xray, mesin bius, ventilator, bekalan farmasi, COVID-19 test kit, sampel COVID-19, peralatan memasak dan makanan.

Selain itu, sepanjang Oktober ini, sebanyak 471 kotak sampel COVID-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau telah dibawa menggunakan penghantaran oleh pesawat TUDM untuk diserahkan kepada pihak KKM di PU Subang bagi dilaksanakan ujian pengesahan di makmal-makmal Semenanjung Malaysia.

TUDM juga turut membawa 68 petugas yang terdiri daripada pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) bagi pengoperasian Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) di Tawau berikutan gelombang ketiga pandemik COVID-19. Manakala seramai 151 orang Tim Mobilisasi KKM telah dihantar ke Tawau dan Kota Kinabalu.

Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota TUDM serta agensi-agensi lain yang terlibat sebagai barisan hadapan yang mana sentiasa bertungkus-lumus membantu negara bagi mengawal serta memerangi wabak COVID19 di dalam negara.

“Kerjasama, komitmen dan usaha bersepadu yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam memerangi wabak ini dapat memberikan hasil yang terbaik kepada negara demi memastikan negara dan rakyat akan kembali sejahtera serta menikmati kehidupan seperti biasa,” tambahnya. –airtimes.my

Geleri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply