Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Kapal LMS ketiga TLDM mula jalani Fasa Ujian Penerimaan

Kapal LMS ketiga TLDM mula jalani Fasa Ujian Penerimaan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Kapal Misi Pesisir (LMS) ketiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah selesai menjalani fasa pembinaan dan selamat diturunkan ke air di Limbungan Wuchang Shipbuilding Industry Group Ltd (WSIG), Wuhan, China bagi menjalani Fasa Ujian Penerimaan di pelabuhan pada Rabu lepas.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam satu kenyataan berkata, upacara rasmi penamaan LMS ketiga ini telah ditangguhkan susulan penularan wabak pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

“Upacara penamaan LMS ini akan dilaksanakan serentak dengan Upacara Penyerahan Fizikal Kapal yang dijadual dilaksanakan pada September 2021,

“LMS ketiga ini bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11 bersama LMS Pertama iaitu KD KERIS dan LMS Kedua iaitu SUNDANG,” kata kenyataan itu.

Menurut TLDM, LMS ketiga ini bakal menjalani beberapa siri Ujian Penerimaan di pelabuhan dan seterusnya Ujian Penerimaan di laut sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung September 2021.

“Bakal Warga Kapal (BWK) LMS ketiga dijangka akan diaturgerak ke China bagi menjalani latihan penyesuaian pada Mei 2021,

“Bagi SUNDANG pula, penyerahan LMS kedua TLDM ini yang dijadualkan pada 12 April 2020 telah turut terjejas susulan pandemik COVID-19 dan akan diserahkan kepada kerajaan apabila BWK SUNDANG selesai menjalani latihan penyesuaian yang tertangguh di China,” ujarnya.

Katanya, LMS keempat pula dijangka akan dilancarkan pada November 2020 ini.

“Perolehan kapal-kapal LMS ini dilaksanakan di bawah Kontrak Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) yang telah dimeterai pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama pihak China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC), China,

“LMS merupakan salah satu daripada 5 kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15 to 5,“LMS berkemampuan melaksanakan tugas rondaan, pengawasan maritim, Search and Rescue (SAR) di samping menguatkuasakan undang-undang maritim Malaysia,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply