Ketegangan geopolitik yang semakin meruncing antara Iran dan Israel kini berada di tahap yang amat membimbangkan. Konflik yang pada awalnya dilihat sebagai pertikaian serantau kini telah berubah menjadi krisis keselamatan global, khususnya melibatkan keselamatan ruang udara di Asia Barat.
Rentetan serangan balas melibatkan dron dan peluru berpandu balistik bukan sahaja menggugat keamanan di daratan, malah menjadikan laluan penerbangan antarabangsa sebagai zon berisiko tinggi yang boleh meragut nyawa pada bila-bila masa. Laluan udara yang sebelum ini menjadi penghubung utama antara Asia, Eropah dan Afrika kini berada dalam keadaan tidak menentu.
Ruang Udara sebagai medan risiko baharu
Sejak serangan udara Israel terhada Iran pada 28 Februari 2026 baru-baru ini, banyak negara di Asia Barat mengambil langkah menutup atau mengehadkan ruang udara masing-masing. Koridor udara yang merentasi Iran, Iraq, hingga ke Mediterranean yang kebiasaannya paling sibuk di dunia, juga mengurangkan penerbangan.
Syarikat penerbangan antarabangsa kini memilih untuk mengelak zon konflik bagi mengurangkan risiko terhadap pesawat komersial dan menjamin keselamatan penumpang serta anak kapal. Keadaan ini meningkatkan kos bahan api, memanjangkan masa perjalanan dan menjejaskan jadual penerbangan global.
Malaysia turut menerima kesan langsung daripada krisis ini. Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS), sebelum ini telah mengesahkan pesawat MH156 dan MH160 yang dalam perjalanan ke Doha dan Jeddah terpaksa membuat pusingan semula ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai langkah keselamatan.
Tindakan ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko di ruang udara yang tidak menentu. Kesan paling ketara dirasai oleh jemaah umrah Malaysia apabila penerbangan terpaksa dibatalkan atau digantung sementara.
Selain gangguan operasi penerbangan, terdapat laporan kerosakan terhadap beberapa infrastruktur awam di rantau berkenaan. Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed antara yang dilaporkan terjejas akibat serangan balas. Insiden ini menunjukkan bahawa kemudahan awam kini turut terdedah kepada risiko konflik bersenjata moden.
Dalam pada itu, terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, kerajaan akan memberi jaminan dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang ketika ini terkandas di Asia Barat susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran.
“Tentunya sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab untuk memelihara dan menjamin keselamatan rakyat Malaysia. Supaya keberadaan mereka di sana dapat dijamin keselamatan. Ramai terkandas akibat penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan. Sebahagiannya memang sudah menetap dan bekerja di sana,” katanya.
Menurut beliau, ketika ini lebih 29,112 rakyat Malaysia, sama ada berdaftar atau tidak berdaftar berada di beberapa negara di rantau tersebut dan sebahagiannya juga merupakan pelancong dan Jemaah umrah.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika mengemukakan usul mengutuk serangan Israel dengan sokongan Amerika Syarikat di Dewan Rakyat. Antara negara yang mencatat jumlah rakyat Malaysia paling ramai ialah Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Jordan.
Kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri dan kedutaan Malaysia di negara terlibat sedang memantau situasi secara dekat. Usaha menghubungi rakyat Malaysia yang terjejas turut dijalankan, termasuk persediaan membawa pulang mereka sekiranya perlu.
Walau bagaimanapun, proses repatriasi berdepan cabaran besar akibat sekatan dan penutupan ruang udara. Penerbangan dari Arab Saudi dilaporkan masih dibenarkan dalam keadaan tertentu, manakala dari beberapa negara lain masih belum mendapat kepastian.
Implikasi strategik dan ekonomi
Gangguan ruang udara Asia Barat bukan isu terpencil. Rantau ini merupakan nod penting dalam sistem penerbangan global. Sebarang gangguan akan memberi kesan rantaian kepada industri penerbangan, logistik dan perdagangan antarabangsa.
Justeru, syarikat penerbangan utama dunia mengambil pendekatan berhati-hati dengan menggantung atau mengubah laluan penerbangan. Tindakan ini walaupun perlu dari sudut keselamatan, ia meningkatkan kos operasi serta menjejaskan aliran pergerakan manusia dan barangan.
Dalam jangka panjang, krisis berpanjangan boleh memberi tekanan kepada harga minyak dan kos penghantaran rentas benua. Pasaran kewangan global turut sensitif terhadap perkembangan geopolitik di Asia Barat.
Seruan Diplomasi dan Peranan Malaysia
Bagi Malaysia, krisis ini menuntut keseimbangan antara pendirian diplomatik dan keutamaan melindungi rakyat. Malaysia mempunyai ruang untuk terus menyuarakan sokongan terhadap usaha damai melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam.
Tanggungjawab ini perlu dipikul bersama oleh kerajaan, pihak kedutaan, dan komuniti diaspora untuk memastikan setiap individu mempunyai pelan kecemasan jika keadaan semakin meruncing. Hanya melalui kesepakatan antarabangsa, keselamatan ruang udara dapat dipulihkan dan nyawa orang awam dilindungi daripada menjadi mangsa keadaan dalam konflik bersenjata moden ini. -airtimes.my














