Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara EC 725 AP TUDM terbangkan bekalan makanan, barang keperluan untuk mangsa banjir

EC 725 AP TUDM terbangkan bekalan makanan, barang keperluan untuk mangsa banjir

by Nurulhuda

KUANTAN, 21 Dis – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan misi penghantaran bekalan makanan dan barangan keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir di Pahang.

TUDM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, pesawat itu juga telah membuat penerbangan MEDEVAC untuk membawa pesakit ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, pada Isnin.

“Keadaan banjir di daerah Kuantan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan banyak laluan di kawasan penempatan tidak boleh dilalui melalui jalan darat dan terputus hubungan,

“Helikopter EC 725 AP dari No. 10 Skuadron telah diaturgerak bagi melaksanakan Operasi Murni (Op Murni) dengan membawa bekalan makanan dan barangan keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir,

“Pesawat yang sama turut membawa Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bercemar duli untuk meninjau serta turut memberikan bantuan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sungai Lembing,” jelas TUDM malam tadi.

Menurut TUDM, operasi yang diketuai oleh Pegawai Memerintah No. 10 Skuadron, Leftenan Kolonel Muhammad Fazri Md Zin TUDM juga telah melaksanakan penghantaran bekalan makanan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) seberat 2.7 tan kepada penduduk terjejas banjir di Sungai Lembing.

Misi Op Murni telah diaktifkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 18 Disember 2021 berikutan beberapa negeri telah dilanda banjir.

Pada masa yang sama, TUDM menjelaskan, pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk mengatur gerak aset mengikut keperluan operasi semasa.

Sehingga hari ini, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 39,723 mangsa banjir, membabitkan 10,712 keluarga yang ditempatkan di 281 PPS.

Daerah yang dilanda banjir juga masih kekal 9 iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.-airtimes.my

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply