Home Semasa AirAsia jamin tambah baik perkhidmatan, keselamatan diutamakan

AirAsia jamin tambah baik perkhidmatan, keselamatan diutamakan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Syarikat penerbangan tambah rendah tempatan, AirAsia memberi jaminan akan menambah baik dan memastikan perkhidmatan yang lebih berkualiti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, komitmen itu diberikan semasa pertemuan antara pihaknya bersama AirAsia semalam yang disertai Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Riad Asmat, Ketua Setiausaha KPDNHEP Azman Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDNHEP Datin Roszanina Wahab.

Nanta berkata, menerusi penerangan teknikal dan justifikasi rentetan isu kelewatan rangkaian penerbangan AirAsia baru-baru ini, pihak syarikat telah memaklumkan usaha mitigasi bagi mengelak kejadian tersebut berulang.

“Ia merangkumi penambahan pesawat secara berperingkat (berbanding 40 ketika ini) bagi menampung permintaan, terdekat menjelang Julai,

“Aduan pelanggan akan diselesaikan menerusi 4 saluran AirAsia,” kata Nanta menerusi catatan di laman Facebook rasminya malam tadi.

Selain itu, Nanta juga berkata, AirAsia Berhad (bukan AirAsia X) memberi pulangan wang kepada penumpang, tanpa sebarang isu.

Tambahnya, AirAsia juga bersetuju untuk memberi kerjasama berkaitan isu pengguna dan pihak kementerian akan terus mengadakan libat urus dari semasa ke semasa.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Nanta turut menafikan dakwaan beliau memihak kepada AirAsia dalam isu kelewatan penerbangan syarikat itu baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya memahami isu berkaitan syarikat penerbangan tertakluk di bawah kementerian pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Bagaimanapun, Nanta berkata beliau dan kementeriannya mengambil langkah proaktif apabila menerima aduan daripada pengguna berkaitan isu kelewatan penerbangan dan tuntutan mereka terhadap syarikat terbabit.

“Disebabkan aduan dibuat kepada KPDNHEP dan di atas dasar kementerian ini yang prihatin dan menjaga hal ehwal pengguna, saya telah berhubung dengan syarikat AirAsia bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan masalah yang menimpa pengguna.

“Tuduhan yang mengatakan saya memihak kepada AiraAsia adalah tidak wajar dan saya berharap ia dapat dihentikan,” ujarnya.

Terdahulu, Nanta berkata, 4 punca kelewatan penerbangan AirAsia disebabkan jumlah pesawat yang terhad, kekangan operasi dan kawal selia, isu teknikal yang turut terkait dengan ‘pintasan burung’ pada enjin pesawat serta panahan kilat terhadap pesawat selain keadaan cuaca.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply