Home PolitikBarisan Nasional ‘Saya masih Ketua Menteri Melaka’ – Sulaiman

‘Saya masih Ketua Menteri Melaka’ – Sulaiman

by Air Times News Network

MELAKA, 13 Mei – Datuk Seri Sulaiman Md Ali menafikan sudah melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka berikutan dakwaan kononya beliau dipaksa menandatangi surat peletakan jawatan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Sulaiman berkata, akan terus berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk pimpinan.

“Saya menafikan dakwaan bahawa sudah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka,

“Ini adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri yang saya terajui selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu menegaskan, isu seperti itu tidak sepatutnya timbul terutama ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri sedang memberi fokus bagi memperkukuhkan usaha serta tenaga untuk merampas kembali kerusi parlimen yang telah hilang semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Keterbukaan saya mendengar pandangan ahli politik negeri bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya ia adalah kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik,

“Sempena bulan Syawal yang mulia ini, saya menyeru supaya kita semua bermuhasabah demi menguatkan parti dan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memenangi PRU-15 akan datang,

“Kita punya agenda yang lebih besar dan utama daripada bermain politik seperti ini. Saya orang parti dan sebagai orang parti kita dituntut mematuhi keputusan yang sudah dibuat oleh parti,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, setelah memenangi PRN lalu, beliau bersama barisan EXCO dan anggota pentadbiran kerajaan negeri berusaha gigih melaksanakan program pembangunan serta memenuhi aku janji yang telah dilafazkan.

“Segala usaha ini adalah untuk memastikan negeri Melaka dan rakyatnya dapat menikmati limpahan kemajuan, pembangunan serta kemakmuran yang setanding dengan negeri dan negara maju yang lain,” ujarnya.

Katanya, ketika ini beliau bersama EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berada di Sarajevo, Bosnia-Herzegovina bagi mengetuai misi pelaburan negeri dan menghadiri Sarajevo Business Forum 2022.

“Misi ini adalah untuk melihat peluang pelaburan baharu di sini serta menarik pelaburan asing ke Melaka,

“Pada masa sama, saya terus memberikan perhatian dan mengikut rapat perkembangan yang berlaku di Melaka, baik daripada segi pentadbiran kerajaan negeri mahu pun daripada segi perkembangan politik tanah air,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!