Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Op Murni: Helikopter EC-725AP TUDM terbangkan 1,250kg bekalan makanan

Op Murni: Helikopter EC-725AP TUDM terbangkan 1,250kg bekalan makanan

by Air Times News Network

KUALA LIPIS, 6 Jan – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan menghantar bantuan bekalan makanan dan keperluan asas seberat 1,250 kilogram (kg) kepada mangsa banjir di Pahang pada Isnin lalu.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, barangan tersebut dihantar menggunakan helikopter EC-725AP dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan di sekitar daerah Kuala Lipis dan Temerloh yang terjejas ekoran laluan di kawasan penempatan terputus hubungan dan tidak boleh dilalui menggunakan jalan darat.

“Pada 4 Jan, TUDM telah mengatur gerak helikopter EC-725AP yang diketuai oleh oleh Pegawai Memerintah No. 10 Skuadron, Leftenan Kolonel Muhammad Fazri Md Zin TUDM selaku Ketua Operasi telah berjaya melaksanakan 3 sortie penghantaran bekalan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seberat 250kg kepada penduduk yang terjejas banjir,

“Pesawat diterbangkan oleh Mejar Baynard Mesyeano Tim’ah TUDM dan dibantu Leftenan Izwan Shafiq Suhaimi TUDM selaku pembantu juruterbang serta 8 orang anak kapal telah melaksanakan penghantaran ke 8 RAMD, Sekolah Kebangsaan (SK) Budu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SKMA) Kuala Lipis dan SK Lubuk Terua,” katanya.

Manakala pada 5 Jan, sekali lagi TUDM melakukan 10 sortie penerbangan yang mana 5 pada sebelah pagi dan 5 lagi sebelah petang. Sebanyak 1,000kg bekalan makanan daripada JKM telah dihantar ke Kem Batu 3, SK Lubuk Terua, SK Lanchang, IKBTN Lanchang, SK Desa Bakti, SK Rantau Panjang, SK Penjom dan SMK Seberang Temerloh.

“Bagi penugasan waktu pagi, penerbangan tersebut telah dikendalikan oleh Mejar Mohd Asmil Faiq Adnan TUDM selaku komander pesawat; Leftenan Ahmad Izwan Shafiq Suhaimi TUDM selaku pembantu juruterbang dan 8 orang anak kapal lain terdiri daripada Kuartermaster Udara serta pasukan Search and Rescue (SAR),” ujarnya.

TUDM laksana penerbangan ihsan dengan membawa 2 lelaki warga emas mengalami penyakit buah pinggang dari SK Lanchang ke SMK Seberang Temerloh, Foto: TUDM

Selain itu, pada sebelah petang pula, helikopter TUDM berkenaan turut melaksanakan 3 penerbangan ihsan dengan membawa seorang lelaki dewasa, seorang lelaki warga emas dan 2 bayi pasangan kembar.

Penerbangan pertama membawa pesakit, Mohd Sayuti Md Rajab, 39 tahun, yang mengidap penyaki jantung. Manakala penerbangan kedua membawa pesakit Mohd Zain Abdul Manan, 77 tahun yang mengidap penyakit buah pinggang.

Penerbangan ketiga pula membawa dua orang bayi pasangan kembar berumur 4 bulan yang mengalami demam panas. Pasangan kembar tersebut adalah Ayfa Zara binti Rosman Hafsam dan Arfan Naufal bin Rosman Hafsam yang diterbangkan dari SK Lanchang ke SMK Seberang Temerloh. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply