Home Semasa COVID-19: 2 pelajar sekolah antara 20 pesakit Kluster Sivagangga

COVID-19: 2 pelajar sekolah antara 20 pesakit Kluster Sivagangga

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan 2 orang pelajar sekolah telah dikenalpasti dijangkiti wabak COVID-19 dari Kluster Sivagangga di Kedah.

Mereka merupakan antara 11 pesakit COVID-19 terbaru yang dikesan dari kluster tersebut.

Menurut beliau, kedua-dua pelajar terbabit merupakan kontak rapat kepada generasi pertama kluster tersebut yang merupakan pelanggan kepada sebuah restoran yang dimiliki pesakit indeks.

“Seorang pelajar berusia 7 tahun merupakan salah seorang daripada 8 kontak rapat kepada pesakit ke-8975,

“Sementera itu, seorang pelajar sekolah berumur 10 tahun adalah salah seorang daripada 3 kontak rapat kepada pesakit ke-8976,” jelas Noor Hisham.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pengarah Kesihatan menjelaskan kluster tersebut telah mencatatkan 20 kes positif. Tiada kes rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian direkodkan.

“Sehingga hari ini, seramai 313 orang telah disaring dengan 280 orang disahkan negatif sementara 13 lagi menunggu keputusan ujian,

“Kesemua pesakit telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan. Aktiviti pengesanan aktif sedang giat dilaksanakan,” katanya.

Kluster Sivagangga dikesan berpunca daripada salah seorang pemastautin tetap pulang dari luar negara yang enggan mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah.

Kluster tersebut mula dikesan pada akhir Julai lalu.

Sementara itu, Noor Hisham menjelaskan sebanyak 14 kes baharu COVID-19 pada hari ini. Angka tersebut adalah terdiri daripada 13 penularan tempatan di kalangan rakyat Malaysia dan 1 kes lagi merupakan rakyat Filipina.

“Selain 11 kes dari Kluster Sivagangga, dua kes penularan tempata dikesan di Pintu Masuk Antarabangsa Laut Labuan,

“Masing-masing datang dari Sandakan dan Penampang,” ujarnya.

Beliau menambah, seramai 2 pesakit sedang dirawat di ICU dan salah seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian baharu direkodkan.

Sementara itu, seramai 17 pesakit telah disahkan pulih pada hari ini.

Sehingga hari ini, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 8,999 kes positif COVID-19 dengan 8,664 daripadanya disahkan pulih. Angka kematian pula adalah 125 kes.

– airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply