Home Semasa Kedah tutup 5 sekolah selama 28 hari bendung penularan COVID-19 dari Kluster Sivagangga

Kedah tutup 5 sekolah selama 28 hari bendung penularan COVID-19 dari Kluster Sivagangga

by M.Daim

ALOR SETAR, 2 Ogos – 4 buah sekolah di Mukim Hosba dan sebuah sekolah rendah di Daerah Padang Terap ditutup berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dari kluster Sivagangga mulai esok.

Antara sekolah yang terlibat  di Mukim Hosba ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba, SMK Megat Dewa dan SK Megat Dewa.

Sebuah sekolah di Mukim Padang Sanai, SK Kubang Palas turut diarahkan ditutup.

“Semua sekolah yang dinyatakan diarahkan tutup berkuatkuasa serta merta mulai 2 Ogos 2020 sehingga 29 Ogos 2020 (28 hari). Tarikh ini melibatkan 14 hari tempoh kuarantin dan 14 hari lagi tempoh pemerhatian,” kata Pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dalam satu kenyataan.

Selain penutupan sekolah, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor telah memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Targeted Enhancement Movement Control Order, TEMCO) akan dilaksanakan di 4 mukim di Negeri Jelapang Padi itu.

Antara mukim yang terlibat ialah Mukim Ah, Mukim Binjal, Mukim Hosba serta Kampung Ulu, Padang Sanai di Daerah Padang Terap.

TEMCO akan melibatkan melibatkan kawalan pergerakan orang awam pada radius 1 kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba), Daerah Kubang Pasu.

Dalam kenyataan yang sama, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah turut memutuskan had pergerakan kepada guru di kawasan terjejas.

“Guru yang tinggal di kawasan dan di luar kawasan TEMCO tidak dibenarkan untuk hadir sama sekali ke sekolah di mukim yang terjejas,

“Guru yang tinggal dan bertugas di luar kawasan TEMCO tetapi perlu melalui kawasan TEMCO adalah dibenarkan. Arahan ini adalah berkecuali kepada mereka yang terlibat dalam perkhidmatan yang diperlukan (essential services)” jelasnya lagi.

Namun begitu, langkah selanjutnya adalah tertakluk kepada keputusan oleh peringkat pusat.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan terdapat 14 kes baharu COVID-19 telah dikesan di negara ini. Dari angka tersebut, 11 kes melibatkan kluster Sivagangga dengan 2 daripadanya adalah pelajar sekolah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aktiviti pengesanan aktif sedang giat dijalankan untuk mengesan kontak rapat dari kluster tersebut.

 

Related Articles

Leave a Reply