Home Semasa Pusat Kuarantin MAEPS Serdang khusus untuk PATI hidap COVID-19

Pusat Kuarantin MAEPS Serdang khusus untuk PATI hidap COVID-19

by M.Daim

PUTRAJAYA, 25 Mei – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) akan menjadi pusat kuarantin khusus untuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“PATI yang didapati menghidapi COVID-19 semasa dalam tahanan di Depot Imigresen akan dihantar ke MAEPS Serdang,” jelasnya semasa Sidang Media Harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pusat kuarantin tersebut akan menerima pesakit COVID-19 dari kalangan PATI dari Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih, Bukit Jalil dan KLIA.

Sementara itu, pesakit yang terdiri dari kalangan warga tempatan pula telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Pusat kuarantin MAEPS akan dikhususkan untuk PATI sahaja. Hari ini merupakan hari terakhir pemindahan pesakit dari kalangan warga tempatan dari pusat itu,

“Selain itu, pagar kawat duri telah dipasang di sekeliling kawasan pusat kuaranti bagi mengelakkan mana-mana PATI yang ditahan cuba melarikan diri,” katanya.

Beliau menambah, anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia turut ditempatkan di MAEPS Serdang untuk melakukan kawalan.

Pada masa yang sama, Menteri turut menjelaskan rakyat tidak perlu bimbang peningkatan COVID-19 di kalangan PATI kerana kes tersebut melibatkan kawasan depot tahanan.

 

Related Articles

Leave a Reply