PUTRAJAYA,11 Apr – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneliti serta memperhalusi pengoperasian semula kedai gunting rambut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa ketiga pada 15 April ini.
Ia susulan kebimbangan ramai selepas wujud kes jangkitan melibatkan kluster gunting rambut di luar negara.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata MITI akan meneliti semula pandangan dan kebimbangan rakyat mengenai pelaksanaan tersebut.
“Semalam macam-macam berita yang keluar di media sosial berbincang tentang perkara yang sama,
“Saya percaya MITI akan meneliti semua pandangan rakyat dan akan memperhalusi perkara tersebut,” kata Ismail Sabri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.
Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan pelonggaran sembilan industri untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP fasa ketiga, termasuk perkhidmatan gunting rambut dan dobi.