[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=VDsRNS9TqOc[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Kerajaan hari ini mengumumkan tiga aktiviti perniagaan iaitu pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat mencuci kereta kini dibenarkan beroperasi mulai esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketiga-tiga aktiviti perniagaan itu dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam dan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
“Setelah membuat penilaian risiko dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk membenarkan beberapa lagi sektor perniagaan terutama yang melibatkan perniagaan mikro beroperasi dengan SOP yang ketat,
“Maka kerajaan bersetuju untuk meluluskan pasar malam dibenarkan beroperasi dari pukul 4 petang hingga 10 malam dengan mematuhi SOP yang ketat, antaranya jarak gerai dengan gerai satu meter, laluan keluar masuk berbeza dan kawalan yang ketat oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Manakala, bagi kedai gunting rambut hanya perkhidmatan memotong rambut sahaja yang dibenarkan, lain-lain aktiviti masih tidak dibenarkan.
“Hanya potong rambut sahaja dibenarkan, khidmat cuci muka dan khidmat lain tidak dibenarkan. Kedai gunting rambut perlu patuhi SOP yang ditetapkan antaranya menggunakan pelitup muka dan apron yang dipakai oleh petugas adalah pakai buang,
“Manakala bagi pusat cuci kereta, juga dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10 malam sahaja,” tambahnya. –airtimes.my
