Home Semasa Virus COVID-19 masih aktif pada badan, organ dalaman pesakit yang meninggal dunia – Ketua Pengarah Kesihatan

Virus COVID-19 masih aktif pada badan, organ dalaman pesakit yang meninggal dunia – Ketua Pengarah Kesihatan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 10 April – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan virus COVID-19 masih aktif pada badan pesakit yang telah meninggal dunia.

Penemuan baharu itu adalah hasil daripada bedah siasat ke atas mayat pesakit COVID-19 oleh Institut Perubatan Forensik Malaysia.

“Penemuan bedah siasat mendapati terdapat virus COVID-19 dikesan pada permukaan badan jenazah melalui analisis,

“Virus juga dikesan pada organ dalaman, air kencing dan cecair badan mayat,” kata Ketua Pengarah Kesihatan.

Menurut beliau, penemuan terbaharu itu selari dengan pandangan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai pengurusan jenazah pesakit COVID-19 sebelum ini.

“Cara pengurusan pengebumian jenazah Islam hanya dibenarkan untuk ditayammum di atas permukaan beg mayat,

“Bagi jenazah bukan islam, apa-apa upacara keagamaan atau tradisi hanya dibuat di atas permukaan beg mayat,” jelas Dr Noor Hisham.

Beliau menambah, tatacara itu telah dipersetujui oleh pihak berkuasa agama melalui mesyuarat yang telah dijalankan pada pertengahan Mac lalu.

Selain itu, beliau menegaskan, bedah siasat telah dijalankan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Terdahulu, beliau mengesahkan sebanyak 118 kes baharu jangkitan COVID-19 dikesan pada hari ini dengan menjadikan keseluruhan kes sebanyak 4,346.

Pada masa yang sama, seramai 70 pesakit sedang di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu, sebanyak 3 kematian dicatatkan dan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 adalah seramai 70 orang.

Sementara itu, seramai 222 pesakit telah pulih dan menjadikan jumlah keseluruhan pesakit sembuh adalah seramai 222.

Berikut perincian tiga kes kematian terbaharu yang diumumkan pada Jumaat:

– Kes kematian ke-68 (kes ke-694) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster Seri Petaling (kes ke-159). Beliau telah dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Sabah pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 jam 8.21 pagi.

-Kes kematian ke-69 (kes ke-4229) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 jam 4.00 pagi.

-Kes kematian ke-70 (kes ke-4230) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 88 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan dementia. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-1684). Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 jam 2.38 pagi.

 

Related Articles

Leave a Reply