Home Semasa Kompaun RM1,000 kepada individu ingkar PKP terlalu rendah – Ismail Sabri

Kompaun RM1,000 kepada individu ingkar PKP terlalu rendah – Ismail Sabri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Apr – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan kemungkinan mempertimbangkan untuk menaikkan kadar kompaun yang sedia ada (RM1,000) kepada individu yang masih ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata kemungkinan kompaun yang dikenakan RM1,000 terlalu rendah.

“Kalau kita lihat di Singapura, mulai 17 April ini, hukuman pesalah pertama adalah SD10,000 (RM30,492), kesalahan kedua SD20,000 (RM60,948). Di Korea Selatan, kesalahan pertama sekali pun RM35,000. Di Indonesia pun kalau tak silap saya 300 juta rupiah (RM82,000),

“Hukumannya adalah besar dan ditetapkan adalah tinggi iaitu melebihi daripada RM10,000, cuma Malaysia setakat ini masih menetapkan RM1,000,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP hari ini.

Menurutnya, kerajaan mungkin akan meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk berbincang dengan pejabat Peguam Negara bagi menaikkan kompaun ataupun denda yang boleh dikenakan kepada orang yang masih ingkar.

“Dari segi hukuman penjara pun boleh ditambah dan sebagainya supaya boleh jadikan deterrent (pencegahan) supaya tidak melakukan keingkaran untuk perintah PKP,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan sehingga semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan kadar pematuhan arahan PKP setakat 97 peratus.

“PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 775 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 508,605 kenderaan,

“Sebanyak 38,854 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dan sebanyak 5,538 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa,”ujarnya.

Ismail Sabri juga memaklumkan PDRM telah menahan 666 individu yang ingkar arahan PKP, di mana 392 individu dikenakan kompaun RM1,000.

“Sebanyak 263 individu direman dan 11 lagi dijamin polis,” ujarnya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply